Author: rosmatrabu
•8:03 PTG
Jika anda jadi pelajar
Jangan malas hendak belajar

Jika anda menuntut ilmu
Jangan sekali merasa jemu

Jika anda hendak berlatih
Mesti tahan penat dan letih

Jangan asyik berangan-angan
Tekun gigih jadi pegangan

Jika berusaha sambil lewa
Tidak hairan kalau kecewa

Jika belajar tidak jemu
Banyak ilmu akan ditemu

Apa guna banyak bercakap
Jika kerja tidak cekap

Jika suka ponteng sekolah
Ilmu tak dapat tentu rugilah

Berusaha dengan bersungguh-sungguh
Jangan suka tangguh-tangguh

Jika tak mahu dengar nasihat
Apabila besar jadi jahat

Jika tulisan terang dan bersih
Hati pemeriksa sayang dan kasih

Jika tulisan tak dapat dibaca
Mata pemeriksa akan berkaca

Banyak membaca fikiran kaya
Rajin berusaha pasti berjaya

Masa itu emas dan wang
walaupun sedikit jangan dibuang

Jangan nanti esok lusa
Masa beredar tanpa dirasa

Jika leka sering bersuka
Tidak hairan datang celaka

Jika rajin membaca buku
Otak cerdas tidak beku

Jika mudah putus asa
Semua harapan hancur binasa

Jika anda berkerja kuat
Banyak perkara boleh dibuat

Budi bahasa amat berharga
Tingkah laku wajib dijaga

Sudah tahu belajar lagi
Banyak untung tiada rugi

Nukilan ini saya petik dari tulisan seorang pelajar UiTM Shah Alam pada tahun 1999 yang menggelar diri Kak Suzie Poujie.Selamilah makna yang tersirat....
Author: rosmatrabu
•8:36 PTG
اَلْحَمْدُ ِللهِ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta Alam

Selawat dan salam

ke atas Nabi Junjungan Muhammad S.A.W



اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Di pagi yang indah ini

Kami berhimpun menghadiri

Dalam majlis yang penuh warna warni

Mempunyai maksud tersendiri

Mohon majlis diberkati

Lagi dirahmati



اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Umumnya semua mengetahui

Atas gelaran Datuk yang diberi

Oleh TYT pembesar negeri

Kepada Pengarah kami yang dikasihi



َ يَا اَللهُ

Sesungguhnya gelaran yang diberi

Akan menambah beban diri

Setiap perilaku diperhati

Mohon jauh dari aib dikeji

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Jauhkan perasaan punya kelebihan diri

Jauhkan perasaan meninggi diri

Sungguh ianya akan merugi

Tatkala bertemu Mu, Ya Ilahi



اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Jadikan hambaMu ini dihormati

Lagi disenangi



Jadikan hambaMu ini dikasihi

Lagi disayangi



Jadikan hambaMu ini rendah diri

Lagi menginsafi



Jadikan hambaMu ini pemikiran murni

Lagi putih mata hati



Dan

Jadikan hambaMu ini seorang insani

Lagi suci nurani



اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Kami berhimpun tanda menghormati

Atas gelaran yang dianugerahi

Walaupun berbentuk peribadi

Hakikatnya UiTM Sabah yang diwakili



يَا اَللهُ

Naungilah pada

UiTM Sabah yang banyak berjasa

Untuk melatih anak bangsa

Menjadi warga berjaya

Untuk diri dan keluarga

Justeru memartabatkan bangsa

Kepersada jaya



اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Kepada warga UiTM sabah

Mohon diberikan hidayah

Moga kerja menjadi ibadah

Untuk tujuan maslahah ummah



اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Syukur atas nikmat pemberian

Yang tidak dapat diberi gantian

Walau dengan harta kekayaan

Mahupun dalam amal perbuatan



Akhirnya Ya Allah

Sekali lagi dipinta

PadaMu Yang Maha Esa

Mohon diampun segala dosa

Samada tersembunyi mahupun nyata
Author: rosmatrabu
•6:31 PTG


Sabda Rasulullah S.A.W... mafhumnya
"Doa itu senjata bagi orang Mukmin"

Oleh kerana itu bersamalah kita menadah tangan membaca :
Doa Akhir & Awal Tahun Hijriah
Pada 30 Zulhijjah 1430H Bersamaan 17 Disember 2009(Khamis)
Alangkah ruginya jika ia berlalu begitu sahaja......

Sedikit panduan:

Waktu untuk membaca doa akhir tahun ialah selepas solat asar sebaiknya hampir masuk waktu maghrib
17 Disember 2009  manakala doa awal tahun ialah tatkala masuknya waktu maghrib pada hari tersebut.

DOA AKHIR TAHUN




Artinya:
“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga rahmat dan salam Allah tetap tercurah kepada junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W teriring keluarga serta sahabat baginda. Wahai Tuhanku, apa yang daku perbuat sepanjang tahun ini berupa perbuatan perbuatan yang dilarang aku melakukannya, sedangkan aku belum bertaubat dari padanya dan Engkau tidak meridhainya dan tidak melupakannya, dan Engkau telah menyayangi hambaMu setelah Engkau berkuasa untuk menyiksa akan daku, kemudian Engkau menyeru  untuk aku bertaubat setelah aku bermaksiat kepadaMu. Karena itu, daku mohon ampunan dariMu Ya Allah, maka ampunilah daku dengan Anugerah-Mu.
Dan apa yang telah aku kerjakan ditahun ini adalah berupa perbuatan yang Engkau ridhai dan Engkau janjikan pahala atasnya, Aku mohon pada-Mu wahai Tuhanku, Dzat Yang Maha Mulia, yang memiliki Kebesaran dan Kemuliaan, agar Engkau terima amalanku dan jangan hendaknya Engkau putuskan harapanku dari-Mu, wahai Dzat Yang Maha Mulia. Semoga rahmat dan salam Allah tetap tercurah kepada junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W teriring keluarga serta sahabat baginda.”

DOA AWAL TAHUN




Artinya :
“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga rahmat dan salam Allah tetap tercurah kepada junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W.teriring keluarga serta sahabat baginda.
Wahai Tuhanku, Engkau adalah Dzat Yang Maha Kekal, dahulu dan Awal. Hanya denga anugerah dan kemurahan-Mu yang agung, telah datang tahun baru. Di tahun ini kami memohon pemeliharaan-Mu dari Syaitan, kekasihnya dan balatentaranya, dan kami memohon pertolongan-Mu atas hawa nafsu yang mengajak kepada kejelekan, dan kami memohon kesibukan dengan perbuatan yang dapat mendekatkan diri kami kepada-Mu wahai Dzat yang memiliki kebesaran dan kemuliaan. Semoga rahmat dan salam Allah tetap tercurah kepada junjungan kami Nabi Muhammad teriring keluarga serta sahabat baginda.”
Author: rosmatrabu
•6:47 PTG
Alhamdulillah

Segala puji-pujian padaMu Ya Allah
Tuhan semesta Alam

Selawat dan salam pada Rasulullah
Muhammad S.A.W

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Pada tengahari yang indah nian
Kami menadah tangan
Mohon diberi kesejahteraan
Pada majlis penutupan Kursus Kepimpinan

Dalam kursus padat panduan
untuk diri membina kecemerlangan
Mohon tidak dipersia-siakan
Kelak merugi masa dan kewangan

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Andai kami yang menjadi pilihan
Memegang watak pimpinan atasan
Cetuskan.. pemikiran berwawasan
Agar mentadbir penuh kewibawaan

Andai kami yang menjadi pilihan
Memegang watak pemimpin atasan
Taburkan hikmah kebijaksanaan
Setiap keputusan didahului pedoman

Dan Ya Allah

Andai kami yang menjadi pilihan
Memegang watak pimpinan atasan
Terbitkan rasa penuh ketaqwaan
Bukan mendabik tanda kepuasan

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Rangsangkan sifat kemuliaan
Luaran mahupun dalaman
Agar cantik keperibadian
Ditonton orang penuh senyuman

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Lazimkan ucapan salam pertemuan
Takkan mengurang dalam kehebatan

Lunakkan tatkala memberi teguran
Kelak diterima penuh kerelaan

Maniskan bahasa dalam pertuturan
Agar mudah menjadi ikutan

Hadirkan minat mendengar luahan
Pasti lahir pelbagai pandangan

Ringankan tulang hulur bantuan
Dalam doa sentiasa dititipkan

Muliakan mereka yang di bawahan
Nescaya menambah rasa penghormatan

Ikhlaskan dalam setiap amalan
Di sisi Allah tempat dimuliakan

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Hindarkan dari sifat keegoan
Kerna pasti tiada menguntungkan
Hanya mengundang sifat kemurkaan
Dalam al-Quran ada penjelasan

Jangan gembira atas perlantikkan
Merasa seronok pada kedudukkan
Hakikatnya menambah bebanan
kelak nanti tiada kemampuan

Menjadi pemimpin bukan mudah
Pasti hadir namanya masalah
Jangan kami mudah mengalah
Di setiap ujian adanya hikmah

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Kepada mereka yang di bawahan
Akurlah pada segala arahan
Kadang-kadang amat menyukarkan
Kerna bukan adat kebiasaan
Percayalah tiada maksud tunjuk kehebatan
Cuma menjalankan satu kewajipan

Yang di atas sentiasa diingatkan
Agar berada pada landasan
Kerna tiada yang berkekalan
Baik kedudukkan mahupun jawatan
Hidup umpama suatu putaran
Berpusing ia mengikut peredaran

Akhirnya Ya Allah

Pemimpin boleh datang dan pergi
Samada suka atau tidak disukai
Jika baik budi pekerti
Setiap kehilangan pasti dirasai
Tersimpan kemas di lubok hati
Dalam kenangan sampai ke mati

Kenali diri
Lembutkan hati
Buangkan benci
Jauhkan dengki

Adakala suka
Adakala duka
Dekatkan syurga
Jauhkan Neraka


Dibaca pada: 10/12/2009
Beverly Hotel KK