Author: rosmatrabu
•5:54 PTG
Alhamdulillah

Segala puji dan syukur padaMu Ya Allah
Tuhan semesta alam

Selawat dan salam pada Rasulullah
Muhammad SAW

Ya Allah

Kami mengangkat tangan menadah
Mohon diberi taufiq dan inayah
PadaMu Ya Allah kami berserah
Setiap permintaan mohon diijabah

Allahumma Ya Allah

Dengan izinMu jua
Program motivasi kecemerlangan pelajar 2009 di penghujung ia

Dengan izinMu jua
Tiada kekalutan yang mengganggu acara

Dan

Dengan izinMu jua
Semua pihak merasa begitu teruja

Anugerahkan Ya Allah Ya Rahman
Kecemerlangan kehidupan
Mereka yang bertungkus lumus menjayakan
dari mula hingga penamatan

Allahumma Ya Allah
Limpahkan kerahmatan
Mereka yang memberikan sokongan
Juga yang memberikan dokongan
Biarpun kecil dalam sumbangan

Ya Allah
Titipkan:

Pada penutur ilmu yang menyampaikan:
Pahala yang berpanjangan

Pada yang setia mendengarkan:
Kesejahteraan juga keselamatan

Dan

Pada pihak pengurusan:
Keikhlasan dalam amalan

Ya Allah

Dalam menyelusuri perjalanan
Pasti ada rintangan
Kadang-kadang begitu mengusarkan
Hingga menggugat keimanan

Oleh itu Ya Allah

Binakan kekuatan dalaman
Cantikkan akhlak keperibadian
Zahirkan indahnya islam dalam kehidupan
Sebagai senjata mematah serangan

Allahumma Ya Allah

Dari kami anak tercinta
Khusus pada ibu dan bapa
Bukan maksud untuk menderhaka
Jika ada serba tak kena
Hanya menjalankan kewajipan sahaja
Sebagai muslim yang taat setia

Ya Allah

Berikan hidayah dan cahaya
Khusus pada ayahnda bonda
Sanak saudara tidak dilupa
Agar menyembah padaMu Allah yang Esa

Ya Allah

Lima hari berkampung sudah
di Port Dickson yang pantainya indah
Demi mencari ilmuMu Ya Allah
Agar mantap dalam urusan beribadah

Allahumma Ya Allah

Air mata jatuh berguguran
Mengenang dosa yang dilakukan
Takut hadir namanya kemurkaan
Dalam doa mohon pengampunan

Adakala suka
Adakala duka
Dekatkan syurga
Jauhkan neraka

Akhirnya Ya Allah

Janganlah kerna ilmu sedikit yang dimiliki
Menjadikan kami rasa bongkak diri
Sebaliknya suburkan sifat rendah diri
Dengan sentiasa memujiMu Ilahi


Dibaca pada :22 november 2009
Hotel Seri Malaysia
Port Dickson, NS
Author: rosmatrabu
•6:39 PTG
Segala pujian kepada Allah
Tuhan sekalian alam
Selawat dan salam pada Rasulullah
Muhammad SAW

يَا اَللهُ
Kami menadah tangan
Dengan penuh kesyukuran
Kerna masih diberi kesempatan
Untuk kembali kepangkal jalan

يَا اَللهُ
Ampunilah setiap kesalahan
Samada pagi mahupun petang
Baik siang mahupun malam
PadaMu Ya Allah mohon di kabulkan

يَا اَللهُ
Ampunilah dosa keterlanjuran
Samada harian mahupun mingguan
Baik bulanan mahupun tahunan
PadaMu Ya Allah mohon diperkenankan

يَا اَللهُ
Kami banyak berdosa pada ibubapa
Memberi aib tidak terhingga
Sampai tak dapat meletak muka
Depan masyarakat mendapat cerca

Oleh itu Ya Allah ...
Anugerahkan Darjat ketinggian
dari kesabaran disetiap cemuhan
Dek kesalahan yang dilakukan
Oleh anak yang lupa daratan

يَا اَللهُ
Kami berdosa kepada rakan taulan
Mengambil hak tanpa pengetahuan
Hingga menyusahkan dalam persahabatan
Tuduh menuduh menjadi permainan

Oleh itu Ya Allah..

Anugerahkan kesihatan dan keselamatan
Dari ketabahan disetiap tuduhan
Dek kesalahan yang dilakukan
Oleh rakan yang tidak berehsan

يَا اَللهُ
Kami berdosa pada guru-guru yang mengajarkan
Dalam kelas tiada penumpuan
Hanya bermain dan senda gurauan
Hingga menyukar dalam penyampaian

Oleh itu Ya Allah...
Anugerahkan seluas Kerahmatan
Dari kecekalan disetiap ujian
Dek kesalahan yang dilakukan
Oleh pelajar yang kurang perhatian

يَا اَللهُ
Sememangnya syurga menjadi idaman
Tapi langsung tiada kelayakan
Hanya nampak semakin berjauhan
Jika dinilai melalui amalan

يَا اَللهُ
Untuk neraka mohon dihindarkan
Kerana sungguh tiada kemampuan
Tapi nampak seakan berdekatan
Jika di lihat melalui perbuatan

يَا اَللهُ
Dekatkan syurga
Jauhkan neraka
Ampunkan dosa
Hindarkan sengsara

يَا اَللهُ
Ubahkan dari sudut perlakuan:
Dari kerasnya hati kepada kelembutan
Dari keegoan diri kepada kerendahan
Dari kegelisahan kepada ketenangan
Dari kesalahan kepada pembetulan
Dari kecelaruan kepada bimbingan
Dari kejahilan kepada kebijaksanaan
Dari maksiat kepada ketaatan
Dari kegelapan diterangi sinaran
Dari keterlanjuran kepangkal jalan
Dari hanya menunjuk-nunjuk kepada keikhlasan
Dari kehinaan kepada kemuliaan

يَا اَللهُ
RahmatMu mohon diperluaskan
Jika tidak tiada ketentuan
Untung nasib dan bahagian
Dari HambaMu yang penuh penyesalan
Author: rosmatrabu
•5:39 PTG
Alhamdulillah
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam
Selawat dan salam pada nabi junjungan Muhammad SAW

يَا اَللهُ
Pada pagi yang indah nian
Kami menadah tangan mohon perlindungan
Agar diberi kesihatan dan keberkatan
Dalam melayari bahtera kehidupan

يَا اَللهُ
Kami bersyukur atas nikmat pemberian
Ke UiTM Sabah menyambung pelajaran
Suatu yang tidak dalam pemikiran
Moga ianya langkah yang bertepatan

يَا اَللهُ
Dalam langkah keraguan
Kami menyusun harapan
Mencari titik kecemerlangan
Agar sampai matlamat tujuan

يَا اَللهُ
Di tempat asing bersendirian
Demi membina satu kepastian
Andai datang pelbagai ujian
Tetapkan iman ditewas jangan

يَا اَللهُ
Andai tumpul pemikiran
Asahkan dengan kebijaksanaan

Andai terdapat kesukaran
Lahirkan usaha berterusan

Andai hadir sifat kemalasan
Ubahkan pada sifat kerajinan

Andai berlaku kemerosotan
Suburkan rasa keinsafan

يَا اَللهُ
Jika hasutan teman yang mendalangi
Binakanlah kecekalan dalam jati diri

Jika tertutup mata hati
Bukakanlah dengan nur ilahi
Jika hanyut dalam hayalan sepi
Bimbinglah kami sehingga bergelar insani

Jika kewangan yang menghantui
Datangkanlah sumber lain sebagai rezeki

يَا اَللهُ
Kekalkan semangat menguasai pelajaran
Agar cerah masa hadapan
Terutama ibubapa yang mengharapkan
Agar anaknya menempa kejayaan

Pada rakan taulan bantulah teman
Jangan dibiar dalam hayalan
Kerna pasti ada ganjaran
Yang akan diberi mengikut keikhlasan

Pada pensyarah yang dimuliakan
Janganlah tewas dalam menyampaikan
Teruskan khidmat pendidikan
Agar manfaat kekal berpanjangan

Pada pentadbir yang budiman
Mohon dipermudah segala urusan
Mungkin berlaku pelbagai kesilapan
Oleh kami yang serba kekurangan

Pada ibubapa yang dirahmati tuhan
Teruskan doa dan harapan
Agar kami tekun dalam pelajaran
Tidak terhenti di tengan jalan

Pada pelajar yang dikasihi sekalian
Ingat ingatlah pesanan dan harapan
Dari mereka yang tersayang
Agar mengengam segulung kejayaan
Hingga bergelar insan terbilang
Menjadi contoh dan tauladan
Merubah seluruh kehidupan
Tanpa lupa asal usul kelahiran
Author: rosmatrabu
•5:09 PTG
Segala pujian hanya padaMu Ya Allah
Selawat dan salam pada Rasulullah

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ
Pada malam yang penuh kedamaian
Bersempena majlis solat hajat diambang peperiksaan
Kami menadah tangan mohon dikabulkan
Agar setiap impian menjadi satu kenyataan

Berikanlah kesihatan
Lapangkan pemikiran
Fokuskan penumpuan
Jauhkan khayalan

يَا اَللهُ
Jika hadir namanya tangisan
Biarlah ianya dipermulaan
Sebagai pencetus keazaman
Bagi mengukir kejayaan

Jika hadir namanya tangisan
Biarlah juga dipenghabisan
Bukan sebagai penyesalan
Tapi.. tanda kegembiraan


اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ
Kini diambang peperiksaan
Mohon jauh dari kemaksiatan
Kerana ianya akan menghilangkan
Setiap ilmu dalam hafalan
يَا اَللهُ
Peperiksaan kian menjelang
Mohon ditunjukkan jalan
Semoga dapat segala jawapan
Setiap soalan yang mendatang
يَا اَللهُ
Peperiksaan hampir di hadapan
Mohon jauhkan dari debaran
Khuatir ianya memberi kesan
Dalam dewan tempat ujian

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ
Perjalanan masih kabur di depan
tunjukan hidayah kecemerlangan
Mudah-mudahan ianya memberi rangsangan
Pada kami yang menaruh harapan

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ
Ukirkanlah kejayaan
Atas usaha yang berterusan
Moga dapat memberi kegembiraan
Pada ibubapa yang mengharapkan

Andai pencapaian tidak menggalakkan
Kami menerima dengan kerelaan
Mungkin di sana hikmah pemberian
Untuk melangkah hebat menjadi insan terbilang

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ Ya Zal Jalali Wal Ikram
Kami banyak berdosa
Terutama pada ibu dan bapa
Kerana kami mereka tercela
Dek perbuatan yang sia-sia

Kami banyak berdosa
Terutama pada guru tercinta
Kerana kami mereka sengsara
Dek perbuatan main-main belaka

Kami banyak berdosa
Terutama pada rakan sebaya
Kerana kami mereka menderita
Dek perbuatan suka-suka sahaja

Oleh itu Ya Allah
Ampunkan dosa kami semuanya
Ampunkan dosa guru dan ibubapa
Dalam doa ingatan sentiasa
Untuk kejayaan kita bersama